Sabtu, Ogos 09, 2014

Isteri Mati Disamun

KUANTAN: “Ketika memusingkan tubuh isteri yang tertiarap di atas katil, saya lihat mukanya lebam dan dia tidak sedarkan diri.
“Saya cuba mengejutkan dan memanggil namanya beberapa kali namun tiada tindak balas,” kata peniaga restoran, Sallehudin Mohd Yatim, 59, ketika menceritakan detik menyedihkan apabila dia menemui mayat isterinya, Fatimah Zaharah Sulong, 53.
Wanita itu ditemui mati dibunuh dipercayai bermotifkan samun di Perkampungan Sungai Isap II, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian antara jam 2 hingga 4 pagi itu, mangsa tinggal berseorangan manakala empat anaknya ada di Kuala Lumpur.
Dia dipercayai bergelut dengan penyerangnya yang menceroboh melalui pintu belakang sebelum muka mangsa dipercayai ditekup dengan bantal sehingga sesak nafas.
Sallehudin yang berniaga di Arked Jalan Kemunting, di sini, berkata sebelum itu dia menghubungi mangsa pada jam 3 pagi untuk menukar giliran menjaga gerai.
Menurutnya, selepas mangsa tidak menjawab panggilan telefon walaupun dihubungi hampir setengah jam, dia mengesyaki kejadian buruk berlaku lalu bergegas pulang ke rumah.
Katanya, sebaik tiba di rumah, dia mendapati pintu belakang rumahnya terbuka sebelum melihat isterinya tertiarap di atas katil dalam bilik tidur.
“Tiada apa lagi yang mampu dikatakan kecuali menitis air mata selepas mendapati isteri tidak bernyawa.
“Sungguh kejam dan tidak berperikemanusiaan. Saya tidak akan maafkan perbuatan penjenayah terbabit sampai akhirat,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Sallehudin berkata, sebelum keluar dari rumah untuk ke gerainya pada jam 9 malam kelmarin, dia tidak melihat sebarang perubahan aneh serta ganjil pada isterinya.
Katanya, dalam tempoh bulan lalu rumahnya dua kali dipecah masuk namun tidak membabitkan kerugian, tetapi kali ini dia percaya kejadian berkenaan membabitkan suspek sama.
Menurutnya, dalam kejadian itu dia tidak dapat memastikan jumlah kerugian sebenar selepas menyedari telefon bimbit serta beg tangan milik mangsa dilarikan.
Katanya, jenazah isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Gambang, di sini, sebaik bedah siasat selesai dijalankan di Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata sepasukan anggota Jabatan Forensik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan membuat siasatan di tempat kejadian bagi mengumpul bukti kejadian.
Menurutnya, jumlah kerugian masih dalam siasatan dan polis percaya kejadian terbabit bermotifkan samun.
Katanya, polis memerlukan maklumat dan meminta orang ramai tampil di IPD Kuantan bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan :

Catat Ulasan