Ahad, Januari 09, 2011

Mengapa Suami Suka Makan Luar

Seringkali berlaku perselisihan rumahtangga disebabkan oleh sikap suami yang suka makan luar. Tabiat ini kadangkala boleh meruntuhkan rumahtangga yang telah sekian lama dibina. Kes makan luar ini boleh melibatkan orang ketiga termasuklah mamak, makcik mee rebus ataupun peniaga tomyam.
 
Kadangkala isteri telah bersusah payah menyediakan hidangan yang lazat dan menyelerakan tetapi suami tetap nak makan luar. Berbagai cara telah dicuba termasuklah menukar resepi hampir setiap hari dengan hiasan pinggan yang exotic dan dianggap boleh membuka selera suami. Namun suami tetap bernafsu dengan masakan kedai dan suka makan diluar.
 
Hasil dari satu kajian dikalangan suami, antara sebab-sebab mengapa suami suka makan luar ialah :
 
1. Suasana sekeliling dan cuaca


Jika makan atau minum dikedai mamak suasananya lebih membuka selera walaupun keadaan lebih bising dan kelam kabut dengan jerik pekik dan bunyi kenderaan yang lalu lalang.

Kadangkala terpaksa berpindah tempat duduk dua tiga kali disebabkan oleh hujan yang tempias. Itupun dikira masih selesa dan boleh menambah selera.
  
2. Minuman

Teh tarik kedai mamak lebih sedap dan lemak kerana susu yang digunakan dikedai mamak berbeza cap nya dari susu yang digunakan dirumah. Cara mamak menarik teh lebih panjang dan lebih tinggi dari cara isteri menarik teh tersebut dirumah.

Dikedai juga terdapat variety teh seperti teh tongkat ali, kopi jantan ataupun kopi radix. Dirumah teh hanyalah campuran teh, gula dan susu. Tidak seperti teh dikedai yang kadangkala boleh mencapai 30 dalam 1.
 
3. Makanan

Nasi dikedai mamak lebih lembut dan gebu walaupun dimasak didalam periuk yang lebih besar. Dirumah walaupun beras yang digunakan adalah beras yang terbaik dipasaran dan dimasak dalam kuatiti yang sedikit masih juga sedap nasi dikedai.
  
4. Masakan

Tomyam dikedai lebih pedas dan secukup rasa kerana ianya dihidangkan oleh "adik-adik" yang suka menjeling dan tersenyum walaupun tak ada apa-apa perasaan pun ditambah pula dengan panggilan manja seperti tuan dan abang.
  
5. Cawan dan gelas

Minuman yang dihidangkan dikedai lebih sedap walaupun dihidangkan didalam cawan atau gelas yang berminyak dan telah dikongsi entah berapa orang pelanggan sebelum kita meneguknya.
  
6. Pinggan mangkuk

Makanan yang dihidangkan dikedai lebih sedap dan membuka selera walaupun pinggan tanpa jenama tersebut hanyalah berharga tidak lebih dari RM3 sekeping dan tiada sebarang bunga atau ukiran sebagai penghias. Sedangkan makanan dirumah dihidangkan didalam pinggan mangkuk yang berjenama mahal serta penuh dengan bunga dan hiasan yang menarik.
  
7. Kerusi meja

Makan dikedai lebih menyelerakan walaupun diatas kerusi dan meja plastik. Padahal dirumah sendiri kerusi yang empuk serta meja yang teguh penuh dengan hiasan bungaan dan ukiran.
  
8. TV dan layar besar

Makan diluar boleh sambil-sambil menonton TV atau tayangan dilayar besar, walaupun ketika itu hanya ditayangkan perlawanan gusti yang memang tak minat untuk ditonton. Makanan yang tak sedap pun boleh jadi sedap.
  
9. Pelayan

Diluar lebih berselera makan walaupun dilayan oleh mamak yang pure dari India atau bangla yang bau ketiaknya bercampur baur dengan rempah kari. Padahal dirumah sendiri isteri sentiasa wangi dan berpakaian seolah-olah nak masuk tidur.
 
10. Jarak perjalanan

Sanggup berjalan berbatu-batu hanya kerana ingin sangat nak makan diluar. Biar hujan, biar ribut, biar panas terik, sanggup basah kuyup atau berlenggeng peluh semata-mata untuk segelas teh tarik.
  
11. Hiruk pikuk

Dikedai lebih hiruk pikuk dengan sorakan manusia, tambah-tambah lagi dimusim piala dunia. Tidak pulak sisuami merungut bising dan terlekat atau tidak selesa. Dirumah sendiri walaupun suasana waktu makan yang syahdu serta romantik, masakan tetap tidak sedap.
  
12. Kena bayar mahal

Teh tarik sanggup dibayar dengan harga RM2 segelas, padahal kosnya tak sampai 40 sen. Itu belum lagi termasuk bayaran parking dan "sedekah" pada kanak-kanak yang datang menjual tisu atau kalendar.
  
Memang tak boleh nak buat apa.... memang dah tabiat dia camtu.

  
Jadi... jika suami anda suka makan luar walaupun sudah puas dileterkan, biarkan saja. Tak guna anda terus berleter, buat kering tekak saja. Tindakan yang terbaik ialah teruskan menyediakan makanan. Biarpun hanya anda dan anak-anak yang menikmatinya.

 Suami memang cepat jemu dengan hidangan dirumah. Tambah-tambah lagi jika asyik-asyik makan ayam goreng, daging masak kicap dan sayur taugeh.
  
Sekali sekala cubalah pulak masak daging goreng, ayam masak kicap dan goreng taugeh.
  
Setelah penat memasak jangan lupa menghidangkannya diatas pinggan yang berbunga-bunga dan penuh ukiran.
  
Akhir sekali jangan lupa menyediakan tuala untuk lap tangan dan mulut.
  
SELAMAT MEMASAK UNTUK KERUKUNAN RUMAHTANGGA..




"Hahaha..artikel ini sekadar hiburan. Hargailah isteri anda selagi berkesempatan"

Tiada ulasan :

Catat Ulasan