Sabtu, Ogos 09, 2014

Isteri Mati Disamun

KUANTAN: “Ketika memusingkan tubuh isteri yang tertiarap di atas katil, saya lihat mukanya lebam dan dia tidak sedarkan diri.
“Saya cuba mengejutkan dan memanggil namanya beberapa kali namun tiada tindak balas,” kata peniaga restoran, Sallehudin Mohd Yatim, 59, ketika menceritakan detik menyedihkan apabila dia menemui mayat isterinya, Fatimah Zaharah Sulong, 53.
Wanita itu ditemui mati dibunuh dipercayai bermotifkan samun di Perkampungan Sungai Isap II, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian antara jam 2 hingga 4 pagi itu, mangsa tinggal berseorangan manakala empat anaknya ada di Kuala Lumpur.
Dia dipercayai bergelut dengan penyerangnya yang menceroboh melalui pintu belakang sebelum muka mangsa dipercayai ditekup dengan bantal sehingga sesak nafas.
Sallehudin yang berniaga di Arked Jalan Kemunting, di sini, berkata sebelum itu dia menghubungi mangsa pada jam 3 pagi untuk menukar giliran menjaga gerai.
Menurutnya, selepas mangsa tidak menjawab panggilan telefon walaupun dihubungi hampir setengah jam, dia mengesyaki kejadian buruk berlaku lalu bergegas pulang ke rumah.
Katanya, sebaik tiba di rumah, dia mendapati pintu belakang rumahnya terbuka sebelum melihat isterinya tertiarap di atas katil dalam bilik tidur.
“Tiada apa lagi yang mampu dikatakan kecuali menitis air mata selepas mendapati isteri tidak bernyawa.
“Sungguh kejam dan tidak berperikemanusiaan. Saya tidak akan maafkan perbuatan penjenayah terbabit sampai akhirat,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Sallehudin berkata, sebelum keluar dari rumah untuk ke gerainya pada jam 9 malam kelmarin, dia tidak melihat sebarang perubahan aneh serta ganjil pada isterinya.
Katanya, dalam tempoh bulan lalu rumahnya dua kali dipecah masuk namun tidak membabitkan kerugian, tetapi kali ini dia percaya kejadian berkenaan membabitkan suspek sama.
Menurutnya, dalam kejadian itu dia tidak dapat memastikan jumlah kerugian sebenar selepas menyedari telefon bimbit serta beg tangan milik mangsa dilarikan.
Katanya, jenazah isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Gambang, di sini, sebaik bedah siasat selesai dijalankan di Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata sepasukan anggota Jabatan Forensik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan membuat siasatan di tempat kejadian bagi mengumpul bukti kejadian.
Menurutnya, jumlah kerugian masih dalam siasatan dan polis percaya kejadian terbabit bermotifkan samun.
Katanya, polis memerlukan maklumat dan meminta orang ramai tampil di IPD Kuantan bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Cerita Seks Di Internet

Akhirnya aku curang terhadap suamiku; Isteri diperkosa orang lain; berbomoh; Dirogol tukang rumah dan Tini janda muda antara tajuk cerpen panas dalam sebuah laman web lucah yang menjadi tumpuan penggemar ilusi seks melampau.
Laman web yang dikesan kewujudannya sejak beberapa tahun dulu dipercayai susulan daripada sebuah laman web yang pernah dibongkarkan sebelum ini.
Kewujudan laman web itu didedahkan seorang sumber Harian Metro yang risau bahan bacaan itu bakal merosakkan minda orang ramai terutamanya golongan remaja.
Sumber itu berkata, berbeza dengan laman web sebelum ini, hanya mereka yang mahir dan orang tertentu saja dapat mengakses laman web itu memandangkan ia lebih rumit berbanding sebelum ini.
Menurutnya, beratus-ratus cerpen lucah dipercayai disumbangkan pembaca yang didakwa pengalaman mereka melakukan perbuatan itu itu sebelum ‘dibukukan’ untuk dikongsi bersama.
“Kebanyakan cerita yang dipaparkan menggunakan alunan bahasa yang mengghairahkan sehingga boleh menarik pembaca menghayati semua cerpen yang dipaparkan.
“Cerpen panas itu antara lain mengisahkan seorang isteri yang tidak dapat menahan gelora nafsu selepas ditinggalkan suaminya yang bertugas di luar kawasan sanggup berlaku sumbang dengan lelaki lain,” katanya.
Menurutnya, turut dimuatkan perilaku buruk seorang bapa mentua yang sanggup meniduri menantunya sendiri sehingga wanita itu mengandung.
Katanya, kisah seorang janda gersang yang melakukan aksi seks dengan tiga lelaki di rumahnya juga dipaparkan dalam cerpen pendek laman web ini.
“Namun, tidak dapat dipastikan sama ada cerita yang dimuatkan itu berdasarkan pengalaman yang dilalui penulis atau hanya sekadar ilusi semata-mata.
“Malah, bagi menaikkan keghairahan penggemar laman web terbabit, pengendalinya turut memuat turun beberapa komik lucah memaparkan lelaki sedang ghairah melakukan hubungan seks dengan pasangannya.
“Sedar atau tidak, kewujudan cerpen lucah itu boleh mempengaruhi pelakuan remaja yang mungkin mendorong mereka untuk merasai pengalaman melakukan hubungan seks itu,” katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera bagi mengelak orang ramai terutamanya remaja daripada terus hanyut dalam dunia ilusi yang boleh mendorong mereka melakukan perkara negatif.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ekonomi dan Sosial Islam Malaysia (Pekesim), Ghafar Nin, berkata kegiatan tidak bermoral berkenaan perlu dibendung segera bagi mengelak menjadi ikutan remaja yang mudah terdedah dengan perlakuan buruk itu.
“Mereka dipercayai menulis bahan itu hanya berdasarkan kepada ilusi semata-mata kerana seronok dan mendapat kepuasan melakukannya.
“Pada pandangan saya, mereka (penulis) itu mungkin ‘sakit jiwa’ kerana sanggup menghasilkan bahan berkenaan,” katanya ketika mengulas mengenai kewujudan cerpen lucah dalam laman web di sini, semalam.
Menurutnya, beliau bimbang bahan berkenaan akan menjadi ikutan remaja memandangkan golongan terbabit mudah terpengaruh dengan gejala seumpama itu.
Katanya, pengaruh bahan berkenaan mungkin boleh menyebabkan remaja terjerumus untuk melakukan jenayah seperti rogol dan mencabul kehormatan

Sayang Ibu Sanggup Berkorban

KUALA LUMPUR: Kerana terlalu sayang ibunya, seorang jurujual sanggup berkorban sehingga menyebabkannya maut dihempap tiang lampu apabila sempat bertindak menolak ibunya jatuh dari motosikal yang dinaiki mereka bagi menyelamatkan wanita itu.
Dalam kejadian jam 10 pagi semalam, mangsa dikenali Mohd Azlie Mohd, 20-an, dikatakan menunggang motosikal bersama ibunya, Jamnah Johari, 45, dari rumah mereka di Salak Selatan, Sungai Besi menghala pusat bandar untuk pergi ke tempat kerja di sebuah pusat beli-belah.
Bagaimanapun, ketika melalui Jalan Loke Yew berhampiran sebuah sekolah menengah, sebatang tiang lampu secara tiba-tiba dikatakan rebah sebelum menghempap motosikal dinaiki anak beranak itu.
Panik dengan keselamatan ibunya, anak kedua daripada tiga beradik berkenaan dikatakan bertindak menolak ibunya jatuh dari motosikal berkenaan.
Dalam keadaan cemas itu, Jamnah yang dikatakan cedera selepas terjatuh dari motosikal akibat tolakan itu, hanya dapat melihat sahaja kejadian berkenaan tanpa berdaya menghulurkan sebarang bantuan.
Difahamkan, tiang lampu berkenaan tidak stabil dan bergoyang kerana ia pernah dilanggar kenderaan, baru-baru ini.
Sementara itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, mangsa bersama ibunya kebetulan lalu di kawasan itu ketika tiang berkenaan tiba-tiba rebah.
“Kejadian berlaku terlalu pantas dan mangsa bertindak pantas menolak ibunya jatuh dari motosikal sebelum tiang berkenaan menghempap dirinya sendiri.
“Kami yang melihat kejadian itu segera menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan kecemasan dan membantu mangsa,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.