Ahad, Januari 06, 2013

Kenapa kita jadi baik bila kita ditimpa kesusahan atau masalah


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”

Assalammualaikum.

Soalan ini timbul ketika saya tengah chat dengan sahabat saya di facebook, tiba-tiba kawan saya bertanya, "Kenapa kita jadi baik bila kita ditimpa kesusahan atau masalah?"

Saya terdiam.

Mulalah saya terfikir, hidup saya juga begitu. Saat saya diberi Allah nikmat, jarang saya beringat kepada pemberianNya. Solat hanya cukup-cukup, doa hanya cukup-cukup, tetapi apabila datang masalah, Ya Allah, tunduk tak berangkat, meleleh-leleh air mata berderai. Qiam tue jangan ditanya, hampir setiap malam!

Adakah itu sikap hipokrit? Sombong atas kenikmatan dunia? Hanya ingat sejadah apabila datangnya musibah?

Sebab itulah, timbul kesedaran dalam hati saya, memang patut Allah turunkan pengajaran kepada saya supaya saya sentiasa berfikir. Masa inilah bermain-main lagu dalam kepala saya, "Jika merinduimu itu bahagia, aku pilih derita merinduimu".

Sebab itu saya berjanji dalam diri saya, baik atau buruk sesuatu perkara, saya akan terima dengan redha. Jika Allah tarik nikmatNya dari saya, saya yakin Allah akan gantikan dengan perkara yang jauh lagi baik! Siapa saya untuk menolak takdirNya? Lebih baik saya tersenyum, dan gembira dengan hidup!

Tazkirah Remaja


Salam,
Saya harap ... baca dan hayatilah perlahan-lahan..
Awk..tujuan saya hantar email  ni bukan untuk menambahkan luka awk ... tapi nak mengurangkan beban yang awk hadapi sekarang..
Saya dah tahu banyak perkara yang mungkin awk sendiri takut kalau saya tahu..Sebagai seorang yang menyayangi awk, hati mana yang tak hancur bila dapat tahu benda2 mcm ni berlaku awk tak perlu risau, saya akan jaga aib awk dan takkan bagitahu dekat sesape pun..
Masih ada ruang untuk kita bertaubat dan anggaplah apa yang terjadi ada hikmah diatas kekhilafan kita yg lepas..
Sempat saya dengar tazkirah masa bulan puasa yang lepas..seorang ustaz bercerita walaupun mungkin cerita ni adalah tak betul tapi realitinya akan berlaku masa akhirat nanti..
"Seorang hamba ditimbang amalannya di hari akhirat dan didapati pahala dan dosanya hampir-hampir sama berat..cuma melebihi sedikit dosanya..lalu diminta hamba itu kepada ALLAH untuk diberi peluang sekadar beberapa saat untuk dia hidup kembali di dunia..kata ALLAH: aku sudah memberi banyak masa di dunia untuk kamu berbuat baik dan akhirat ini adalah masa untuk perhitungan..lalu dicampakkan hamba itu ke dalam neraka"
Cerita ini saya karang sendiri dan mungkin tidak tepat tapi jalan ceritanya hampir sama macam yg diceritakan ustaz tu..
"Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya"
(Hadis Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani)
Gerun bukan? Cuba letakkan diri kita di saat nyawa betul-betul dihujung halkum kita. Tidak terkata dan terbayang dengan apa-apa yang akan berlaku. Saat mati itu adalah rahsia dari Allah, tiada siapa di atas muka bumi ini yang mengetahui saat bila kita akan dipanggil olehnya..
Dalam firman Allah SWT mengingatkan kita bahawa:
"Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Khiamat." (Surah Ali 'Imran ayat 185)
"Bagaimana jika aku mati dalam keadaan tidak sempat untuk bertaubat dari segala dosa-dosa aku yang lampau?"
"Adakah aku akan mati dengan tenang jika dosa-dosa lalu ibarat menghambat aku sendiri di kari akhirat kelak?
"Dan bilakah waktu Malaikat Izrail itu akan datang untuk mencabut nyawa ku?"
Pintu taubat Allah sentiasa terbuka untuk kita sebagai umatnya. Jangan kita sesekali berputus asa dengan Rahmat dari Allah yang menciptakan kita. Firman Allah dalam Surah Az-Zumar ayat ke 53:
"Katakanlah: "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Pintu Taubat Allah sentiasa terbuka luas untuk hambanya. Ayat diatas tiada sebarang syak wasangka dan keraguan untuk kita terus istiqamah memohon ampun dariNya dan meninggalkan segala kemungkaran yang telah kita lakukan. Dialah jua Yang Maha pengampun lagi Maha Mengasihani.
Mungkin agak berat untuk kita berubah tapi percaya dan istiqamahlah, InsyaAllah lama kelamaan karat yang ada dalam hati tu pasti akan hilang..
Kita manusia biasa yang sering kali melakukan kesilapan dan kesalahan. Jika kita seorang yang peka dan mengetahui akan segala kesalahan yang dilakukan itu adalah salah dan melawan tuntutan dari Allah, kita mempunyai peluang untuk berubah kepada yang lebih baik.
Sebelum terlambat, cepat-cepatlah kita untuk memohon ampun dan bertaubat dengan segala dosa, kemungkaran dan kelalaian kita yang lalu supaya Allah dapat mengampunnya sebelum hembusan nafas kita yang terakhir. Renungkanlah sepotong ayat Al-Quran, Surah Ali-'Imran ayat 135-136 untuk kita muhasabah dan hayati.
"Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal"
Ada part dalam cerita ni yang sy ambil dari penulisan lain..Bukan semua yang saya karang..
Awk,
Kalau dia seorang lelaki yg baik untuk awk, dia tak akan buat perkara yang tak baik kepada awk..Dan saya sendiri bukanlah seorang lelaki yang baik tapi kita sama2 lah cuba untuk berubah kepada yang lebih baik..Setiap perubahan walaupun kecil, pasti ada nilaian disisi Allah SWT..Tinggalkanlah dia, pedulikanlah apa pun yang dia buat.. Bina hidup baru..Bersihkanlah hati..
Saya akan terima ... seadanya dan akan tolong ... untuk bebas dari masalah ni..
Wassalam..

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Saya suka baca penulisan seperti ini. Banyak pengajaran yang kita boleh ambil bersama. Daripada catatan ini, kita dapat lihat di mana seorang yang baik dambakan cinta yang ikhlas.  Desakan yang halus, pujian dan ajakan kepada perkara kebaikan. Seorang perempuan pasti tertarik dengan lelaki begini. Saya belajar sesuatu, dan saya jadikan pengajaran dalam hidup.

Untuk kita berubah, kita perlukan sesuatu rangsangan dan desakan kepada perubahan. Selama ini kita tidak menyedari kesilapan daripada diri kita.

Dahulu, dipuji akhlak yang baik, solatnya tidak pernah tinggal, menjadi ikutan sahabat yang lain malah pelajarannya cemerlang. Namun, hatinya tidak dapat menghalang nafsu serakah yang timbul dalam dirinya. Di situlah bermula segala fitnah dalam dirinya. Solat mula diabaikan, pergaulan mula menjadi bebas malah al-quran sering dilupakan. Akhirannya di mana? Sedikit demi sedikit, hatinya menjadi kotor. Dahulunya bersih, kini tercalit pelbagai noda. Hanya kerana cinta dunia? Mukanya berseri, namun hilang sinar keimanan apabila dilakunya dosa. Memberontak apabila ditegur kepada kebaikan.

Yakinlah, percaturan Allah itu sangat baik. Apa hikmah di sebalik apa yang terjadi. 

Saya melawat rumah kebajikan minggu lepas, di sana sepatutnya saya mengambil banyak pengajaran. Kanak-kanak tersiksa akibat kesilapan ibu bapanya, namun tidak muncul dendam dalam hati kanak-kanak tersebut. Sedangkan kita pula ditimpa kesusahan atas kesilapan diri sendiri.

Alhadulillah, impian saya untuk menjadi suami yang soleh, memahami pasangannya, romantis, bijak mengatasi masalah rumah tangga, mengetahui hukum halal haram, menjadi bapa yang baik, mengetahui tanggungjawab dalam rumahtangga masih lagi kuat. Sepanjang perjalanan hidup ini, kita kena belajar banyak perkara. Saya pasti akan terima baik buruk isteri saya nanti. Yang salah di sisi agama, saya pasti menegurnya dalam kaedah yang paling berhemah. Saya belajar dari pengalaman dulu, jika terlalu bertolak ansur atau membiarkan pasangannya melakukan apa sahaja, pasangan akan menilai kita tidak memperdulikan dia atau kurang mengambil berat. Namun, jika terlalu berkasar, maka akan hilanglah hormat dia pada kita.

InshaAllah, semoga Allah permudahkan cita-cita rumahtangga saya yang saya idamkan. Dimana, ketika saya atau isteri saya marah sekalipun, kami mampu ketawa apabila bersama. Dimana ketika badai menimpa, kami akan bantu-membantu bersama. Ketika berjauhan, akan timbul rasa rindu bersama. Itulah doa dan impian saya sejak kecil lagi.

Jika Allah takdirkan sebaliknya, saya tetap akan bersabar. Kerana saya yakin Allah tetapkan sesuatu yang terbaik kepada hambaNya. Biarlah tidak cantik rupa paras, namun hatinya cukup ikhlas menerima kita.

Note: Catatan 29 Disember 2012

Azam Tahun Baru


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”

Assalammualaikum.

Saya pasti ramai yang menggariskan apa yang mereka ingin capai dalam tahun 2013 ini, begitu juga saya. Namun, hasrat hati saya bermula sejak 1 Muharram lagi. Catatan ini saje nak taip supaya diri saya masih ingat apa yang ingin saya capai.

Azam
1. Kelas tahfiz al-Quran
Alhamdulillah, hasrat saya dimudahkan Allah sejak bulan Jun lagi. Namun, kelemahan saya daripada pengurusan masa. Ada juga Ustaz yang mengajar saya nasihat supaya jangan buat dosa macam couple, sebab itu punca hati kita susah nak menghafal. Saya terfikir, mungkin ini salah satu sebab Allah jarakkan hubungan saya dan pertemukan dia dengan orang yang jauh lagi baik? Ish, saya juga selalu berdoa, walaupun saya ni nakal tapi takde la mendoakan yang bukan-bukan. Positif, Allah tahu apa yang TERBAIK untuk kita. Impian saya untuk kuatkan kembali daya hafazan saya, Ya Allah, bukan mudah nak ingat, tetapi saya rasa sangat bahagia.

2. Laksanakan solat fardhu secara berjemaah
Saya yakin selaku lelaki muslim kita pasti tidak akan tinggalkan solat fardhu, namun susah kita nak laksanakan secara berjemaah. Kenapa? Tepuk dada, tanya iman. Cuma, saya sedikit malu menjadi imam kerana dosa yang saya lakukan. Hanya Allah Mengetahui betapa rendahnya hati saya ketika tunduk pada Dia.

3. Tinggalkan dosa
Kelemahan saya paling utama adalah LISAN saya. InshaAllah, saya cuba berubah menjadi seorang yang bahasanya mendidik dan mengajak kepada kebaikan. Semoga Allah kuatkan hati saya untuk tinggalkan perbualan yang sia-sia.

4. Kebajikan Dan Berdakwah
Ini memang impian saya, cuma dahulu saya jadi fasilitator rasmi bagi konsultan tertentu, namun saya mengambil keputusan untuk behenti kerana timbul sifat riak bila saya bercerita kepada orang lain. Saya terfikir, apa kebaikan yang saya buat selama ini terhapus dengan sifat kesombongan dalam diri saya. Saya sedar, ramai lagi orang di luar sana jauh lagi baik hati mereka. Bukan sedikit yang saya jumpa, malah ada yang sukarela datang walau tiada duit. Pernah sekali ada sahabat saya menahan lapar hanya untuk beri makan kepada orang yatim. Bagi kita cerita biasa, tetapi bagi yang alami, semoga Allah melimpahkan rahmat kepadanya. Apa yang saya ingin buat, saya akan diam sahaja apa yang saya lakukan, biarlah orang tertentu sahaja yang mengetahuinya. Buat apa kecoh-kecoh jika sedikit sahaja pahala yang dapat?

5. Pelbagaikan ilmu dan hadiri majlis ilmu.
Alhamdulillah, hampir setiap hari saya berpeluang walaupun kesibukan hidup yang melanda. Jika saya fikir balik, banyak masa saya habiskan kepada pasangan saya dahulu. Telefon, message, jumpa. malah makan sama-sama. Bila saya tinggalkan perkara tersebut, saya dapat rasakan masa saya sangat lapang. Kenapa? Itu yang menjadi persoalan dalam hidup saya. Adakah ini hikmah yang Allah ingin bagi?

6. Belajar mantapkan ilmu muzik
Ehem, saya beli keyboard untuk bermain piano. Rasa seronok!

7. Tingkatkan kualiti kerja
Fokus, dan bersungguh! Banyakkkan beristighfar ketika kerja!

8. Belajar
Sambung Master, fokus, dan tamatkan pengajian.

9. Tingkatkan kesabaran.
Dalam diri saya sikap dan perasaan marah mudah sangat timbul. Adakalanya saya marah kepada sesuatu perkara kecil, namun apabila saya membaca buku psikologi remaja, apa yang saya alami adalah proses kepada kematangan. Alhamdulillah, pengalaman itu membuatkan kita belajar sesuatu perkara.

10. Bersenam dan belajar ilmu pertahanan diri!
Jadual senaman saya tidak konsisten, adakala rajin, adakala malas. Namun, saya cuba perketatkan masa senaman saya. Yes, dan sekarang saya belajar bertinju. Jurulatih kata kat saya, cuba makan banyak. Ish, memang saya makan sikit je pun.

11. Berjimat
Wah, ini isu berat ni. InshaAllah, saya cuba kurangkan belanja untuk perkara yang tidak penting.

12. Jangan hipokrit dan bangga diri.
Saya akan belajar singkirkan sikap ini dalam diri saya.

13. Simpan aset
Ehem, kesinambungan daripada berjimat.

14. Libatkan diri dalam perniagaan
Sasaran saya adalah memasarkan susu tepung kambing dan juga pakaian. InshaAllah, ilmu yang saya dapat dulu saya ingin praktikkan.

15. Lastly, move forward.
Saya akan tinggalkan perkara yang menjadi bebanan kepada saya selama ini. Dalam diri saya, saya banyak terkenang kejayaan lalu, cinta lalu, malah dosa-dosa yang lalu. Bak kata Ustaz Zahazan, hidup ini indah jika apa yang kita buat kita ingat Allah. Jadi, saya akan berusaha berubah kepada yang jauh lagi baik. Ringkasnya, jom hijrah bersama!

Note: 31 Disember 2012